KUALA LUMPUR: Pelumba Thailand, Komet Sukprasert, mengungguli kategori elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Arena BMX Nasional, Negeri Sembilan, hari ini. Dua pelumba Indonesia melengkapkan kedudukan podium apabila Gusti Bagus Saputra dan Yusri Wakhidur Rizal masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa manakala wakil Malaysia, Yohannes Larenza Maehian mengakhiri saingan di tempat ketujuh. "Sudah tentu kejayaan ini amat penting bagi saya kerana ia menjadi mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya harap dapat mengumpul mata lagi dalam beberapa kejohanan akan datang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024," kata Sukprasert, dalam kenyataan dikeluarkan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Kejayaan Sukprasert meraih pingat emas itu menyaksikan beliau muncul satu-satunya pelumba yang berjaya memecah dominasi gergasi Asia, Jepun, dalam kejohanan tersebut.

Ini selepas wakil Jepun berjaya menguasai kategori elit wanita, kategori Bawah-23 tahun (B-23) lelaki dan wanita serta peringkat junior.
Kanami Tano muncul juara kategori elit wanita manakala Amellya Nur Sifa dari Indonesia memenangi perak dan pelumba Thailand Chutikan Kitwanitsathian pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa. Ryo Shimada dan Jui Yabota masing-masing menguasai kategori B-23 lelaki dan wanita manakala kategori junior pula menyaksikan Hyoga Kiuchi meraih emas acara lelaki diikuti Neneka Nishimura bagi acara wanita.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan BMX Jepun, Masa Sampei berkata beliau sememangnya meletakkan harapan tinggi kepada barisan pelumbanya dalam misi mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024. "Selepas ini, kami akan membuat persiapan bagi menghadapi beberapa kejohanan akan datang yang turut menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris. Bagi saingan di Malaysia ini, saya boleh katakan misi kami sudah tercapai," katanya. Di sebalik prestasi cemerlang kem Jepun , skuad kebangsaan masih boleh berbangga apabila Amer Akbar Anuar membawa pulang pingat gangsa saingan B-23 lelaki manakala Eddyna Nasuhar Zainal Abidin menduduki tempat ketiga kategori B-23 wanita.

-- BERNAMA