Pasukan Malaysia meneruskan rentak cemerlang di ATC 23!
Prestasi mantap dari kem Malaysia diteruskan pada hari kelima Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2023 di Velodrom Kebangsaan Nilai hari ini, di mana Dato’ Azizulhasni Awang mengimbau kembali sejarah 2008 sebagai pemenang berganda emas peringkat Asia ini, apabila kembali menjuarai acara ‘favourite’ beliau, iaitu Keirin lelaki elit.
Kemenangan Dato’ Azizul yang diakhiri dengan aksi ‘wheelie’ kelaziman beliau ditambah pula dengan kejayaan Mohd Shah Firdaus Sahrom untuk mendapat tempat ketiga di dalam acara yang sama. Kali terakhir beliau memenangi acara ini adalah pada tahun 2015, dan pingat ini merupakan kejuaraan Asia beliau yang ke-12 di sepanjang kerjayanya.
Shah Firdaus juga menunjukkan semangat juang luarbiasa untuk menamatkan perlumbaan dan melayakkan diri ke perlumbaan akhir setelah terlibat dengan kemalangan yang melibatkan 5 dari 6 pelumba, yang mematahkan ‘seat post’ basikal beliau dan merosakkan tayar belakang, di peringkat separuh akhir.
Manakala bagi kategori para pula, atlet kebangsaan dalam kategori Men’s Blind Pecut 200m Ahmad Ahlami Mohamad yang dibantu oleh Mohd Arfy Qhairant Amran (pilot) telah berjaya memenangi pingat gangsa, manakala acara Women’s Blind Pecut 200m memperlihatkan perlumbaan akhir di antara atlet-atlet Malaysia sahaja, yang dimenangi oleh Nur Suraiya Muhammad Zamri dan dibantu oleh Farina Shawati Mohd. Adnan (pilot), manakal pingat perak dimenangi oleh Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, dengan dibantu oleh Nurul Suhada Zainal (pilot).
Tahniah, pasukan Malaysia! Semoga ini menjadi petanda untuk prestasi semasa Kejohanan Berbasikal Dunia di Glasgow kelak!
Hari ke-6 dan terakhir ATC 2023 berlangsung esok di Velodrom Nilai.