LTdL gegar jalan raya Malaysia September ini
PUTRAJAYA: Bertemakan ‘Beat The Heat, saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara Le Tour de Langkawi (LTdL) bakal kembali menggegar jalan raya Malaysia bermula 23 hingga 30 Sept ini.
Penganjuran edisi ke-27 perlumbaan jelajah berstatus Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ProSeries itu adalah usaha sama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku pemilik LTdL dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Edisi kali ini yang membabitkan lapan peringkat merentasi 10 negeri serta satu Wilayah Persekutuan di Semenanjung dan meliputi laluan sejauh 1,280.3 kilometer (km) akan dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur pada 2012 hingga 2014 dengan rekod cemerlang sehingga diiktiraf oleh UCI.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya sedaya upaya memastikan LTdL 2023 ‘datang’ ke setiap negeri di Semenanjung dengan kos RM8 juta yang diperuntukkan oleh Kabinet.
“Kita telah sebaik mungkin libatkan sebanyak negeri yang boleh, jadi semua negeri di Semenanjung Malaysia kali ini terlibat kecuali Perlis sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Menara KBS di sini hari ini.
Pada masa sama, Hannah mengharapkan lebih banyak pihak dan penaja tampil bersama menjayakan LTdL 2023.
“Saya tidak ada jumlah tepat (kos) berapa lagi yang diperlukan tetapi kita sedang berusaha, ketika ini Terengganu yang menerajui dan kita akan bekerja dengan bajet yang kita ada,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata penganjuran LTdL 2023 tidak bertembung dengan tarikh acara berbasikal Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini sekali gus tidak timbul isu kurang sambutan terhadap LTdL.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pengalaman lepas menjadi sandaran terbaik MSN untuk sekali lagi mengendalikan LTdL.
“Kita pernah jadi penganjur pada 2012 sampai 2014, kita ada pihak yang cukup berpengalaman yang membantu, dari segi teknikal kita ada PKBM yang boleh memberi sokongan. Kepercayaan daripada kerajaan khususnya KBS beri MSN keyakinan yang besar untuk jadi penganjur yang terbaik,” katanya.
Ketika ditanya ketiadaan Langkawi dalam peta perlumbaan kali ini, Ahmad Shapawi berkata keputusan itu disebabkan tambahan kos yang agak tinggi antaranya dari aspek logistik dan faktor laluan yang kurang selesa.
Setakat ini, tujuh pasukan Pro (UCI ProTeam), 11 pasukan benua (UCI Continental) dan satu pasukan kebangsaan Malaysia sudah mengesahkan penyertaan di LTdL 2023 sementara penganjur sedang memuktamadkan tiga pasukan dunia (UCI WorldTeam) yang kini bersaing di Le Tour de France.
LTdL 2023 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4km; Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km. – BERNAMA